Beberapa alamat Lailatul Qadar Di dalam beberapa hadis yang sahih ada diterangkan alamat atau tanda bagi mengenal Lailatul Qadar.
Pada malam tersebut suasana adalah nyaman, tidak panas dan tidak sejuk. [Shahih al-Jami' al-Shagheir, hadis no: 5475]
Kemudian pada pagi hari selepas Lailatul Qadar, matahari terbit dengan sinaran yang tidak menyilau atau tidak terik. [Shahih Muslim, hadis no: 762]
Sekali pun telah diterangkan dua alamat Lailatul Qadar, seseorang itu hanya akan dapat mengetahui secara yakin bilakah Lailatul Qadar setelah berakhirnya bulan Ramadhan dengan menganalisa kesemua sepuluh malam terakhir berdasarkan alamat-alamat di atas. Ini kerana alamat-alamat di atas mungkin wujud secara berbeza-beza di antara malam yang berbeza-beza.
Sebagai contoh, malam 21 mungkin memiliki alamat sinaran matahari yang tidak terik pada pagi harinya, malam 23 mungkin memiliki alamat suasana yang nyaman, malam 25 mungkin memiliki suasana yang lebih nyaman berbanding malam 23, manakala malam 29 mungkin memiliki kesemua dua alamat sekali gus. Tujuan diterangkan alamat-alamat Lailatul Qadar bukanlah untuk menetapkan malam yang tertentu tetapi sebagai sumber motivasi untuk terus beramal dalam rangka mencari Lailatul Qadar.
Apa yang seharusnya dilakukan pada Lailatul Qadar? Mulai sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, hendaklah kita memperbanyakkan solat malam (Qiamulail). A'isyah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah s.a.w. apabila memasuki sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan, beliau mengasingkan diri daripada para isterinya dan menghidupkan waktu malam dengan Qiamulail. Baginda juga membangunkan keluarganya untuk turut berqiamulail. [Shahih Muslim, hadis no: 1174]
Doa Pada Lailtul Qadar
Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu."
Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr
Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu 'anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya:
"Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?"
Maka ujar Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam: "Katakanlah:
"Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini."
http://www.iluvislam.com